Sunday, January 12, 2014

Tiada nama



'Bila saya dengan awak, hilang semua kedukaan di hati saya'  terpana aku membaca ayat yang dikarang si dia. Surat yang sudah habis dibaca dilipat dan diselitkan semula didalam kad Hari Kekasih.

Perasaan gembira dan serba-salah bercampur-baur.

'Apakah perasaanku?' soalan yang mula bermain dikotak fikiranku. Menganggu-gugat ketenanganku di malam itu. Keluhan berat dilepaskan. Aku yang baru sahaja pulang dari tempat kerja bingkas bangun dan menyimpan kad dan surat itu ke dalam kotak rahsia. Biar ianya kekal sebagai rahsia aku dan dia.

Dia, dari pandangan kasar mungkin tidak memenuhi piawaian lelaki macho. Tiada tubuh yang sasa dan berketul-ketul seperti Vin Diesel yang aku minati. Tingginya biasa dan boleh dikatakan tinggi juga jika dibandingkan dengan lelaki biasa. Kulit sawo matang dan akan berubah gelap sedikit jika banyak menyertai aktiviti sukan. Bicaranya lembut dan senyumannya sentiasa tidak lekang dibibir.Sebut sahaja namanya, pasti ramai yang mengenali.

Aku, seorang yang sukar ditafsirkan. Lahir di dalam keluarga yang bercelaru dari segala segi. Membuatkan aku merasa rendah diri dalamannya tapi tampil ceria di hadapan manusia-manusia yang lain. Argh..hati aku biar aku sahaja yang tahu. Bertudung hanya sebagai uniform sekolah dan hatiku masih mencari-cari tujuan hidup dan apa erti Islam pada diriku.

Aku dan dia, masing-masing mempunyai kisah sedih. Dia, bijak menyembunyikannya dengan senyuman dan kisahnya hanya ku dengar setelah bertahun mengenalinya. Bijak sungguh kau mengawal emosi! Aku, kisahku membuatkan aku sakit. Sakit dalaman yang tak tertanggung. Mencari jalan keluar yang kadangkala membuahkan dosa.

Aku dan dia, di mata orang lain merupakan pasangan ideal. Kelihatan dia sangat rapat denganku dan kami bagaikan sukar untuk berenggang. Hakikatnya bukan begitu, kami saling menyokong dalam diam. Mengubati jiwa masing-masing dalam kebisuan. Hakikatnya tiada nama untuk hubungan kami.

No comments:

There was an error in this gadget