Tuesday, December 16, 2014

Al-Fatihah..

[kredit]  

Disaat anak, cucu dan saudara mara dari jauh berkumpul, kau kejung diatas batu marmar.

Air mata merembes tanpa henti dari keluargamu yang tahu ini merupakan saat terakhir mereka dapat menatap wajahmu.

Anak-anak dan cucu-cucumu berebut mahu memandikanmu buat kali terakhir. Mungkin terpahat disanubari yang inilah jasa terakhir yang mereka boleh taburkan buatmu.

Lemah-lembut dan mengikut arahan orang yang arif. Anak dan cucumu menguruskan dirimu buat kali yang terakhir.

Bergotong-royong menghulur sabun dan gayung berisi air bercampur kapur barus. Air dari getah paip juga tak henti-henti mengalir membersihkan segala kotoran yang melekat dibadanmu.

Selesai dimandikan, kau dikeringkan dengan tuala dan ditutup dengan kain batik. Tubuhmu dibaringkan diatas kain kapan yang sudah dilapisi dengan kapas yang akan membaluti tubuhmu.

Saat kau dikapankan, sekali lagi gelojak emosi menyerang. Masing-masing payah menahan tangis. Mengetap bibir walaupun air mata laju menuruni pipi.

Tubuhmu dibaluti kain kapan dan diletakkan wangian kasturi. Wajahmu disapukan bedak dan diletakkan celak. Saat yang tak boleh diungkap telah tiba, saat dimana ahli keluargamu dibenarkan mengucupmu buat kali terakhir. Air mata wajib ditahan walaupun menggila mahu dirembes keluar.

Kucupan terakhir dari suamimu menyentuh jiwa para hadirin. Kasih seorang suami yang kekal sehingga akhir hayat. Yang dahulunya tak betah makan diluar kerana menginginkan air tanganmu.

Kau pergi selamanya menemui Sang Pencipta meninggalkan mereka yang mengasihimu. Moga Allah melimpahkan rahmatNYA kepadamu dan insyaAllah kita akan bertemu lagi.

Al-Fatihah buat Zaharah binti Da - 13.12.2014 20.42pm


No comments:

There was an error in this gadget